Pengenalan Keharmonian

 

SEMANGAT KEHARMONIAN NEGARA DAN ANTARABANGSA


PENGENALAN DASAR DAN HUBUNGAN ANTARA BANGSA

        Pada peringkat antarabangsa, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa di Kementerian Perpaduan Negara telah ditugaskan untuk merancang, menggubal menyelaras dan memantau serta mengawasi pelaksanaan dasar sosial berkaitan dengan perpaduan melalui program dan aktiviti bagi memastikan visi dan misi kementerian tercapai. Bahagian ini juga menerajui usaha untuk memastikan Malaysia terus mendapat manfaat daripada pelibatan dan keahlian dalam pertubuhan dan organisasi antarabangsa.

        Pelibatan Malaysia dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) misalnya, telah meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang lantang menentang dasar yang menindas sesama manusia seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan, konflik perang saudara di Congo, Afrika, misi keamanan dan pembebasan Namibia pelibatan tentera pengaman di Bosnia dan keberanian Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin serta pelbagai lagi semangat persaudaraan dan perpaduan terhadap komuniti dunia yang telah ditunjukkan oleh Malaysia.

        Begitu juga dengan pelibatan dalam pelbagai misi bantuan kemanusiaan yang telah dilakukan pada peringkat antarabangsa seperti bantuan bencana alam tsunami di Acheh, gempa bumi di Pakistan dan China, taufan Nargis di Myanmar tanah runtuh di Filipina, letupan gunung berapi di Yogjakarta dan pelbagai lagi bantuan dihulurkan sebagai tanda solidariti serta semangat kebersamaan dan keharmonian yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di persada antarabangsa.

        Semangat keharmonian ini pastinya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap mangsa yang dibantu. Semangat ini diharapkan berkekalan untuk membenahkan nilai persaudaraan yang tidak ternilai dan melampaui batas geografi dan pertalian darah Inilah simbol kejayaan penghayatan etika dan ketinggian peradaban insan.
 


Comments